MATEMATIK
Kurikulum Matematik Sekolah Rendah memberi penegasan terhadap pembentukan asas ilmu matematik supaya penyemaian dan penyuburan pengetahuan, minat, sikap dan nilai estetik berjaya melahirkan generasi yang berbudaya matematik. Di samping itu kemahiran berfikir dan kemahiran belajar diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran yang menegaskan penguasaan konsep, proses dan bahasa matematik. Pengajaran dan pembelajaran matematik perlu memberi peluang kepada semua murid untuk mengalami pembelajaran yang seronok, bermakna, berguna dan mencabar.
Bagi tujuan ini penggunaan pelbagai teknik pengajaran dan pembelajaran dan latihan perlu berperingkat, bermakna dan sesuai dengan kebolehan, pengalaman serta minat murid. Pertimbangan juga perlu diberi kepada gaya pembelajaran yang berbeza di kalangan murid. Pendekatan inkuiri-penemuan berpusatkan murid digunakan secara meluas untuk menjadikan pengalaman matematik yang menyeronokkan, bermakna, berguna dan mencabar. Pertimbangan yang sewajarnya perlu diberi dalam merancang dan melaksanakan pengajaran dan pembelajaran secara optimum dan berkesan. Pembinaan kefahaman tentang konsep dan kemahiran perlu dibentuk di peringkat awal melalui objek sebenar atau objek konkrit. Pemahaman konsep dan kemahiran ini disusuli pula dengan latihan secara lisan dan bertulis yang mencukupi. Di samping itu latihan mencongak yang lebih kerap dan menghafal fakta yang berkaitan dengan empat operasi asas iaitu tambah, tolak, darab dan bahagi perlu diberi tumpuan yang sewajarnya.
Penyelesaian masalah merupakan aspek yang terpenting dalam matematik dan perlu diterapkan dalam semua aktiviti pengajaran dan pembelajaran matematik. Ia merupakan kemahiran berfikir yang menjana cetusan pemikiran yang sistematik dan logik serta boleh dijadikan sebagai satu pendekatan. Pendekatan penyelesaian masalah memberi penekanan terhadap perkembangan pemikiran matematik dan keupayaan menaakul yang dilakukan melalui aktiviti yang konkrit dan berfikrah. Penguasaan kemahiran penyelesaian masalah akan membolehkan murid mengaplikasikan dan mengadaptasikan berbagai strategi yang sesuai untuk menyelesaikan masalah baru. Kejayaan murid dalam penyelesaian masalah bergantung kepada pengalaman, sikap, kepercayaan, kesediaan dan keyakinan murid. Justeru itu, semua aktiviti penyelesaian masalah perlu berasaskan kepada persekitaran dan pengalaman sebenar murid.
Pendidikan Matematik perlu menerapkan elemen-elemen yang boleh membentuk individu yang seimbang dan harmonis dari segi ilmu dan sahsiah. Nilai murni dan unsur kesepaduan seperti sains, patriotisme dan alam sekitar diterapkan dalam pengajaran dan pembelajaran secara berterusan dan terancang. Penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi perlu digunakan supaya proses pengajaran dan pembelajaran matematik lebih menarik dan berkesan. Penilaian dilaksanakan secara berterusan bagi mengesan penguasaan hasil pembelajaran serta keberkesanan kaedah pengajaran dan pembelajaran. Bahan pengajaran dan pembelajaran yang digunakan mesti mengandungi unsur diagnostik kendiri supaya murid dapat mengenal pasti tahap mereka memahami sesuatu konsep, menguasai hasil pembelajaran, dan mengamalkan nilai matematik sepanjang pembelajaran di sekolah rendah.