GEOGRAFI
Geografi merupakan mata pejalaran teras di peringkat Sekolah Menengah Rendah dan sebagai mata pelajaran elektif di peringkat Sekolah Menengah Atas. Mata pelajaran Geografi bertujuan untuk melengkapkan murid dengan pemahaman dan kemahiran asas geografi serta nilai-nilai kemanusiaan. Mata pelajaran ini menyediakan murid menghadapi cabaran hidup ke arah mewujudkan kesejahteraan diri dan masyarakat. Mata pelajaran Geografi merupakan kesinambungan mata pelajaran Kajian Tempatan di sekolah rendah. Kandungan mata pelajaran Geografi adalah relevan dengan kehidupan manusia.
Kandungan mata pelajaran Geografi digubal berdasarkan pemahaman bahawa bumi dan alam sekitarnya adalah ruangan kediaman manusia. Kandungan ini merangkumi kajian tentang interaksi manusia dengan alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia. Kajian ruangan merangkumi pemahaman murid tentang Kemahiran Geografi, Geografi Fizikal dan Geografi Manusia. Aspek-aspek ini dikaji dalam pelbagai komuniti di peringkat tempatan, kebangsaan dan antarabangsa.
Mata pelajaran Geografi juga memupuk nilai-nilai hidup yang harmonis dan sejahtera serta memupuk nilai amanah, bersyukur, kesederhanaan, bertanggungjawab, tidak mementingkan diri sendiri dan mencintai alam sekitar. Pemahaman murid tentang alam sekitar fizikal dan alam sekitar manusia dapat menerapkan semangat patriotik serta mewujudkan sensitiviti murid terhadap fenomena alam secara setempat dan global. Usaha ini selaras dengan matlamat dan hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan