PENDIDIKAN AGAMA DAN MORAL
PENDIDIKAN ISLAM
Pendidikan Islam bermaksud memberi pendidikan kepada anak-anak atau murid-murid berdasarkan ajaran Islam. Mendidik juga bermaksud mengasuh, menjaga dan membelai supaya seseorang anak itu menjadi baik. Baik di sini tentulah baik pada pandangan Islam. Ilmu pengetahuan yang diberi itu ialah suatu wadah dalam pendidikan. Justeru ilmu tidak semestinya mendidik, dan memberi ilmu juga belum tentu lagi memberi pendidikan.
Mendidik ialah kata-kata nasihat supaya murid melakukan sesuatu yang baik. Menasihati murid supaya melakukan suruhan Tuhan seperti solat, beradab dengan ibu bapa dan guru adalah pendidikan. Menasihati murid supaya belajar dengan baik dan tekun adalah pendidikan. Menjaga kebersihan dan kekemasan diri, juga merupakan tuntutan Islam.
Berdasarkan kepada takrifan ini bermakna, tugas pendidikan Islam bukan terletak kepada ibu bapa dan guru agama sahaja, malah kepada semua orang Islam. Kalau di rumah, ibu bapa dan keluarga itu yang bertanggungjawab memberi pendidikan Islam. Manakala di sekolah pula, semua guru yang beragama Islam adalah bertanggungjawab memberi pendidikan Islam kepada semua murid Islam. Guru agama atau istilah sekarang guru Pendidikan Islam, lebih luas tanggungjawabnya pertama menyampaikan pengetahuan Islam dan kemudian mendidik dengan pendidikan Islam. Masyarakat pula bertanggungjawab untuk menghidupkan budaya Islam di dalam masyarakat. Ini termasuklah percakapan, pergaulan, permainan, urusan harian dalam hal ekonomi, politik, sosial, teknikal dan sebagainya.
Kalau di sekolah guru mengajar supaya pelajar melakukan sesuatu yang baik atau sesuatu suruhan Tuhan, seperti solat, tutup aurat dan sebagainya, manakala dirumah ibu bapa tidak menunaikan solat dan tidak menutup aurat menurut kehendak Islam, bermakna ibu bapa tidak mendidik anaknya dengan pendidikan Islam dalam aspek tersebut. Sama juga dengan sekolah. Jika guru Pendidikan Islam mengajar dan mendidik pelajarnya dengan perkara-perkara yang dituntut oleh Islam seperti di atas, tetapi guru lain tidak melakukannya, bermakna guru Islam tidak mendidik pelajarnya yang beragama Islam supaya menghayati ajaran Islam. Ini bermakna, guru tersebut tidak mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam.
Demikian jugalah dengan masyarakat. Jika masyarakat tidak membanteras segala perkara yang bertentangan dengan ajaran Islam yang wujud dalam masyarakat tersebut, sebaliknya menganjurkannya pula, bermakna masyarakat tersebut tidak mendidik anak buahnya dengan pendidikan Islam, malah sebaliknya meruntuhkan Islam. Kalau inilah yang berlaku, pendidikan Islam yang dilakukan oleh guru Agama dalam bilik kelas itu tidak akan berkesan. Dengan demikian, jika berlaku sesuatu yang tidak diingini dalam masyarakat, seperti keruntuhan akhlak dan sebagainya, maka jangan disalahkan orang lain. Kerana itu yang dikehendakai oleh ibu bapa, guru dan masyarakat. Setiap orang akan menegakkan benang basahnya dengan mengatakan ia betul dan orang lain yang salah seperti cerita bangau oh bangau, tetapi kita lupa, bahawa setiap orang akan menjawabnya di hadapan Tuhan.
Malah, dalam pengajaran Pendidikan Islam itu sendiri, jika guru tidak hati-hati, guru hanya menyampaikan maklumat atau pengetahuan Islam sahaja, guru berkenaan tidak mendidik dengan pendidikan Islam. Misalnya, guru Pendidikan Islam atau guru agama mengajar pelajarnya dengan tajuk Syarat Wajib Jumaat. Di akhir pelajaran pelajarnya dapat menyebut syarat-syarat tersebut, maka ini baru tercapai objektif pelajaran. Guru tersebut, sebenarnya belum lagi mendidik pelajarnya dengan pendidikan Islam. Pendidikan itu ialah kata-kata nasihat supaya pelajar menghayati ajaran Islam.
Kalau dalam tajuk ini, guru hendaklah menasihati pelajarnya (lelaki) supaya menunaikan solat Jumaat. Lebih baik lagi, guru mengiringi pelajar ke masjid. Dan sebelum ke masjid, guru patut juga mendidik pelajarnya. Iaitu menasihatkan pelajar supaya jangan bising di masjid. Duduk dengan tertib di dalam masjid dan membaca apa-apa zikir yang baik, seperti membaca al-Quran atau selawat ke atas nabi. Jika ini berlaku, maka barulah dikatakan mendidik dengan pendidikan Islam. Demikianlah seterusnya dalam tajuk-tajuk yang lain, atau pun pelajaran-pelajaran yang lain yang bukan mata pelajaran agama. Bagi guru yang kreatif, ia boleh memasukkan pendidikan Islam melalui pelajarannya.
Ini bermakna, bahawa pendidikan Islam itu mempunyai dua maksud. Pertama bermaksud pendidikan Islam khusus. Iaitu yang merangkumi pelajaran tradisional seperti aqidah, ibadah, tafsir, sejarah, hadis dan sebagainya. Kedua ialah pendidikan Islam umum, yang mana ia merangkumi semua kata-kata nasihat yang boleh membangunkan potensi yang ada pada setiap pelajar melalui semua mata pelajaran sekolah serta melewati segala aspek hidup. Inilah yang dikatakan pendidikan Islam.
PENDIDIKAN MORAL
Pendidikan Moral ialah satu program yang mendidik murid supaya menjadi insan yang bermoral atau berakhlak mulia dengan menekankan aspek perkembangan pemikiran moral, perasaan moral dan tingkah laku moral. Pendidikan Moral di sekolah rendah memberi tumpuan kepada usaha memupuk kekuatan kerohanian dan kemoralan murid melalui penghayatan dan amalan nilainilai murni masyarakat Malaysia yang terdapat dalam agama, tradisi dan adat resam pelbagai kaum di negara ini. Dengan itu murid dapat membina satu panduan hidup yang membolehkan mereka menjadi insan yang bermoral. Ini membolehkan mereka menjadi individu yang bertanggungjawab moral dan sosial terhadap segala keputusan dan tindakan yang dilakukan. Beberapa prinsip utama telah dikenal pasti sebagai panduan dalam melahirkan insan yang menyeluruh dari segi jasmani, intelek, emosi, rohani dan sosial.
Prinsip-prinsip itu adalah:
- Bertanggungjawab pada diri, keluarga dan orang lain;
- Berpegang teguh pada ajaran agama;
- Prihatin kepada alam sekitar;
- Mengekalkan keamanan dan keharmonian hidup;
- Bersemangat patriotik;
- Menghormati hak asasi manusia; dann Mengamalkan prinsip demokrasi dalam kehidupan
Pemilihan prinsip-prinsip di atas dilakukan untuk merealisasikan semangat danhasrat yang terkandung dalam Rukun Negara, Wawasan 2020 dan FalsafahPendidikan Kebangsaan. Sebagai sebuah negara yang sedang melangkah ke arah status negara maju, kita perlu membina masyarakat yang sepenuhnya bermoral dan beretika, iaitu sebuah masyarakat bersatu padu yang mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang kukuh dan bersikap toleransi.Untuk membolehkan murid memahami, menghayati serta mengamalkan prinsip-prinsip tersebut sebanyak lima bidang pembelajaran telah dikenal pasti dan nilai-nilai moral disampaikan menerusi bidang pembelajaran tersebut.
Selain aspek kerohanian dan kemanusiaan, bidang pembelajaran itu juga menekankan aspek kemasyarakatan dan kebudayaan. Bidang pembelajaran tersebut adalah seperti berikut :
1. Nilai berkaitan dengan Perkembangan Diri
2. Nilai berkaitan dengan Diri dan Keluarga
3. Nilai berkaitan dengan Diri dan Masyarakat
4. Nilai berkaitan dengan Diri dan Alam Sekitar
5. Nilai berkaitan dengan Diri dan Negara
Pendidikan Moral juga memberi peluang kepada murid menguasai kemahiran-kemahiran tertentu seperti kemahiran generik, kemahiran berfikir secara kritis dankreatif, kemahiran menyelesaikan konflik dan kemahiran sosial. Penguasaan kemahiran-kemahiran ini juga akan menyediakan murid menghadapi dunia teknologi maklumat dan komunikasi dan cabaran alaf baru dengan penuh keyakinan dan bertanggungjawab sosial dan moral. Penguasaan kemahiran ini juga akan membantu pembinaan daya tahan dan kebolehan menghadapi segala tekanan dan cabaran hidup di kalangan murid.